Seremban, 18 November 2024 – Satu majlis doa selamat penuh bermakna telah berlangsung di Pusat Dialisis Mukmin Seremban yang turut diserikan dengan kehadiran Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia (YTM) Undang Luak Johol. Majlis ini menandakan permulaan rasmi operasi pusat rawatan dialisis yang diusahakan di bawah pengurusan Gedung Penawar, untuk Yayasan Undang Johol dengan kerjasama erat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Lebih daripada 50 orang tetamu hadir bagi memeriahkan majlis yang diadakan pada hari Isnin, 18 November 2024. Tetamu yang terdiri daripada pemimpin masyarakat, wakil agensi kerajaan dan para dermawan, turut bersama-sama mendoakan kejayaan dan keberkatan pusat rawatan ini dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit buah pinggang di Negeri Sembilan.
Pusat Dialisis Mukmin Seremban adalah sebahagian daripada inisiatif kesihatan awam yang bertujuan memberi akses kepada rawatan dialisis berkualiti tinggi, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan mereka yang memerlukan. Dalam ucapan perasmian, pihak pengurusan Gedung Penawar mengumumkan bahawa sebanyak 10 lagi pusat dialisis akan dibuka di seluruh Negeri Sembilan melalui kerjasama strategik antara Yayasan Undang Johol dan MAINS.
Apabila kesemua pusat ini beroperasi sepenuhnya kelak, lebih 500 pesakit akan menerima manfaat secara langsung daripada rawatan yang disediakan. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan kesihatan di negeri ini, tetapi juga mencerminkan keprihatinan institusi-institusi tempatan dalam memperjuangkan kebajikan rakyat.
Dengan pelancaran rasmi ini, diharapkan Pusat Dialisis Mukmin Seremban akan menjadi satu simbol harapan dan kesejahteraan kepada semua yang memerlukan, serta menjadi model kerjasama yang berjaya antara sektor awam dan badan kebajikan di Malaysia.